WALAUPUN sudah lama kejadian berlaku, hal diceritakan teman media CAK ini memang mengejutkan, apatah lagi ketika membayangkan wajah keanak-anakan penyanyi yang semakin laris sejak bakatnya digilap menerusi program realiti TV yang menjadi kegilaan ramai.
Khabarnya, jejaka berusia 22 tahun ini yang mengadakan konsert siri jelajah di Borneo mempermainkan hati seorang wanita. Bermodalkan kata-kata manis dengan janji palsu ditaburkan, dia mengatakan jatuh cinta dengan wanita itu dan memujuk supaya menjadi teman tidurnya di hotel.
CAK tergamam seketika mendengar cerita itu dan hanya diam tanpa memberikan komen. Beberapa kali juga CAK mengulangi soalan sama meminta kepastian, takut nanti CAK tersalah dengar timbul fitnah pula. Namun jawapan yang CAK dapat masih sama.
Teman CAK menyambung cerita, sebaik selesai konsert, sahabat baiknya keluar dengan penyanyi itu. Dalam masa singkat, dia menjadi rapat dengan sahabat teman CAK.
Malah hubungan itu menjadi ‘luar biasa’ apabila si jejaka memujuk rayu wanita itu supaya ‘tidur’ bersamanya. Bagaimanapun, si wanita itu tidak melayan dan meninggalkan penyanyi itu sendirian di bilik hotel.
Beberapa hari selepas kejadian itu, wanita terbabit menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan khabar atas dasar masih ingin bersahabat dan melupakan kejadian lalu, namun hampa kerana SMS tidak berbalas.
Kata rakan CAK, jika ikhlas bersahabat, artis itu tidak akan memberikan segunung harapan dia jatuh cinta dengan wanita itu dan membawanya sehingga ke bilik.
CAK hanya menggeleng kepala mengenangkan kisah ini. Seolah-olah ia memberi gambaran, memang tabiatnya menabur janji pada jutaan gadis. Entah berapa ramai gadis yang berpatah arang termakan janji manisnya.
Sumber :Hmetro
